Thursday, October 3, 2013

AQIQAH UNTUK ANAK ANGKAT

Soalan; assalamu alaikum, ustaz. Saya ada mengambil anak angkat dari kecil. Bolehkah saya buat aqiqah untuknya? terima kasih

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.

‘Aqiqah anak pada hukum asalnya dituntut dari orang yang menanggung nafkah si anak (iaitu bapa atau datuknya. Bagi anak luar nikah, aqiqahnya dilakukan oleh ibu kerana ibunya yang wajib menanggung nafkahnya). Jika hendak dilakukan oleh orang lain, hendaklah dengan keizinan mereka. Tanpa keizinan mereka, aqiqah itu tidak dikira. Itulah yang menjadi pandangan jumhur ulamak termasuk mazhab Syafiie.

Ada juga ulamak berpandangan; asalkan berlaku sembelihan untuk si anak dengan niat aqiqah sudah dikira aqiqah untuknya tanpa diambil kira siapa melakukannya. Ini berdalilkan sabda Nabi SAW; “Anak kecil dipertaruhkan dengan aqiqahnya, iaitu disembelih (ternakan) untuknya pada hari ke 7, diberi nama dan dicukur kepalanya” (Jami’ at-Tirmizi; 1522, hasan soheh). Dalam hadis ini Nabi SAW hanya menyebutkan ‘disembelih (ternakan) untuknya’ tanpa Nabi menentukan siapa sepatutnya melakukannya, maka dengan berlakunya sembelihan dengan niat aqiqah, terhasillah aqiqah untuk si anak sekalipun dilakukan orang asing (Fathul-Bari; 9/595. Subulussalam; 2/542).

Merujuk kepada soalan saudara, jika bapa atau datuk anak itu masih hidup, seeloknya saudara meminta keizinan mereka untuk melakukan aqiqah untuknya. Jika mereka sudah tiada, tidak dapat dikesan atau sukar dihubungi sekalipun masih ada, bolehlah saudara melakukan aqiqah untuknya dengan memakai pandangan kedua tadi. Insya Allah ia menambah lagi amal kebajikan saudara untuk anak itu selain kesudian saudara menjaga dan membelanya.

Rujukan;

1. Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
2. Fathul-Bari, 9/595.
3. Subulus-Salam;
3. Fatawa as-Syabakah al-Islamiah, no; 111169, 15671.

Wednesday, October 2, 2013

BUAT KORBAN UNTUK ANAK YANG BELUM BALIGH

Soalan; Boleh atau tidak ibu bapa membuat ibadah qurban untuk anak yang belum baligh. Ada terbaca syarat untuk korban hendaklah mencapai akil baligh dan berakal.

Jawapan;

Menurut mazhab Syafiie; wali (penjaga)[1] dibolehkan untuk melakukan korban bagi anak jagaannya yang masih kecil (belum baligh), dengan syarat binatang korban datang dari hartanya (yakni dibeli dengan wangnya, bukan wang si anak). Dia seolah menghadiahkan binatang itu kepada si anak, kemudian melakukan korban bagi pihaknya, maka untuknya pahala hadiah dan untuk si anak pula pahala korban. Adapun melakukan korban dengan mengambil dari harta si anak, tidak dibolehkan.

Secara umum, hukum melakukan ibadah korban untuk orang lain –menurut mazhab Syafiie- adalah seperti berikut;

1. Melakukan korban untuk orang yang telah meninggal; terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam mazhab Syafiie sendiri. Sebahagian ulamak berpendapat; dibolehkan kerana ia sebahagian dari sedekah dan telah ijmak para ulamak bahawa sedekah bagi pihak si mati adalah sah, berguna untuknya dan sampai pahala kepadanya. Sebahagian ulamak berpendapat; berkorban untuk si mati hanya sah jika dengan pesanan/wasiat darinya. Jika tanpa pesanan/wasiatnya, tidak sah korban untuknya.

2. Melakukan korban untuk orang yang masih hidup yang telah baligh (termasuk anak); tidak sah korban untuknya melainkan dengan keizinannya.

3. Melakukan korban untuk anak yang belum baligh; hukumnya seperti di atas tadi.

4. Melakukan korban untuk diri sendiri, tetapi menyertakan orang lain dalam pahalanya (yakni meniatkan pahalanya untuk orang lain sama), juga dibolehkan.

Rujukan;

1. al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 8/299.
2. Mughni al-Muhtaj, 6/137.
3. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/80 (perkataan ‘udhiyah’), 45/197 (perkataan ‘walad’).


[1] Iaitu bapa atau datuknya (al-mausu’ah).

Tuesday, September 24, 2013

BAGAIMANA MENGALIHKAN ORANG SEDANG NAZAK KE ARAH QIBLAT?

Soalan; Askm ustaz. Saya ada satu persoalan berkaitan dgn org yg sedang nazak sakit dan org mati. Soalan saya. Kemana kah arah kaki org yg tersebut di atas sepatutnya hendak dihalakan, ketika sesorang itu sedang sakit atau pun meninggal dunia, adakah hendak dihalakan kaki ke arah kiblat ataupun sebaliknya. Saya minta ustaz tolonglg huraikan kepada saya, berserta dgn hadis dan nas2 berkaitan soalan saya tersebut, kerana ada sedikit percanggahan pendapat berkaitan hal ini. Terima kasih..Askm.

Jawapan;

1. Mengalihkan orang yang sedang nazak (hampir mati) ke arah qiblat –apabila nampak tanda-tanda hampir mati padanya[1]- adalah sunat dengan sepakat para ulamak kerana qiblat adalah arah yang paling baik sebagaimana sabda Nabi SAW; “Sesungguh bagi setiap perkara ada yang terbaik/paling utama. Sesungguhnya yang terbaik bagi segala kedudukan ialah yang menghala ke arah qiblat” (Al-Mu’jam al-Ausat, Imam at-Tabrani; 2354, dari Abu Hurairah RA. Status hadis; menurut al-Haitsami dan al-Munziri; isnadnya hasan. Lihat; Faidhul Qadier; 2421).

Diriwayatkan dari Abi Qatadah RA yang menceritakan; Ketika Nabi SAW tiba di Madinah baginda bertanya tentang al-Bara’ bin Ma’rur. Orang ramai menjawab; ‘Ya Rasulullah, dia telah meninggal. Dia memesankan agar 1/3 dari hartanya diserahkan kepadamu. Ketika sedang nazak dia memesankan agar dialihkannya ke arah qiblat’. Nabi SAW menjawab; “Dia telah menepati fitrah. Aku pulangkan 1/3 hartanya itu kepada anaknya”. Kemudian Nabi SAW pergi ke kuburnya dan menyembahyangkannya. Baginda berdoa untuknya; “Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia dan masukkanlah dia ke dalam syurgaMu. Sesungguhnya Engkau telahpun melakukannya” (Mustadrak al-Hakim; 1305. As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 6604. Status hadis; menurut al-Hakim; hadis ini soheh. Az-Zahabi menyetujuinya).

Diriwayatkan dari Saidina ‘Umar RA bahawa ia memesan anaknya; ‘Apabila aku hampir meninggal, alihkanlah aku ke arah qiblat’. Pesanan yang sama juga ada diriwayatkan dari Saidina ‘Ali RA (al-Fawakih ad-Dawani, 1/283).

2. Namun perkara ini tidaklah perlu dititik-beratkan sangat jika memayahkan orang yang sedang sakit itu atau orang lain (kerana rumah sempit dan sebagainya). Sa’id bin al-Musayyab (seorang Tabi’in terkenal) semasa beliau sakit, orang ramai ingin mengubah kedudukannya. Ia bertanya mereka; ‘Apa yang ingin kamu semula lakukan terhadapku?’. Mereka menjawab kepadanya; ‘Kami ingin mengubah kedudukanmu agar menghadap ke arah qiblat’. Ia menjawab; ‘Bukankah aku dari dulu lagi berada di atas qiblat (yakni berada di atas agama Islam) hinggalah ke hari ini?’ (al-Mughni, Ibnu Qudamah; 2/286).

Berkata Ibnu Hazm; jika dapat diarahkan ke arah qiblat, elok dilakukan. Jika tidak, tidak mengapa mengadap ke manapun kerana Allah berfirman (bermaksud); “Ke mana pun kamu mengadap, di situlah wajah Allah” (surah al-Baqarah, ayat 115). Berkata as-Sya’bi; ‘(Ketika nazak atau baru kematian) kamu boleh sama ada ingin mengalihkannya ke arah qiblat atau tidak mahu mengalihnya. Namun di dalam kubur, pastikan ia mengadap ke qiblat…” (al-Muhalla, Ibnu Hazm, 3/405).

3. Adapun cara menghadapkannya ke arah qiblat itu ada dua cara;
a) Membaringkannya di atas rusuk kanan dengan muka dan dada menghadap ke arah qiblat, iaitu sebagaimana kedudukan mayat dalam kubur. Jika tidak dapat di atas rusuk kanan, di atas rusuk kiri dengan muka dan dada ke arah qiblat.
b) Atau; membaringkannya di atas belakang dengan kaki mengadap ke kiblat dan kepala ditinggikan sedikit (iaitu dengan meletakkan lapik dibawahnya) supaya muka kelihatan mengadap ke qiblat.

Mana-mana satu dari dua cara di atas boleh dilakukan. Namun para ulamak khilaf pada menentukan mana yang terbaik. Jumhur ulamak (merangkumi mazhab Maliki, Hanafi dan kebanyakan ulamak mazhab Syafiie) menyukai cara (a). Jika tidak boleh cara (a), baru cara (b). Imam Abu Muhammad al-Juwaini dan Imam al-Ghazali menyukai cara (b). Berkata; Imam al-Haramain; cara (b) lah yang biasa dilakukan manusia. (Rujukan; al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 5/116. Hasyiyah al-‘Adawi, 1/407).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 5/116.
2. Hasyiyah al-‘Adawi, Abul Hasan al-‘Adawi al-Maliki, 1/407.
3. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/286.
4. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/80 (perkataan; ‘ihtidhar’), 10/299 (perkataan ‘tahwil’).
5. al-Fawakih ad-Dawani, Ahmad bin Ghanim al-Maliki, 1/283.
6. al-Muhalla bil Atsar, Ibnu Hazm, 3/405.


[1] Sebelum nampak tanda-tanda hendak mati, makruh mengalihkannya ke arah kiblat kerana ia menyakiti orang sakit (al-Fawakih ad-Dawani, Ahmad bin Ghanim al-Maliki, 1/283).

Monday, September 23, 2013

AKAD MELALUI SMS

Soalan; assalam..ustaz, boleh atau tidak aqad wakalah aqiqah/qurban dlm sms/email/whatsapp dan lain2?  trm ksh ustaz..

Jawapan;

Sebarang akad tidak sah melainkan dengan sighah yang jelas. Maksud sighah ialah pernyataan secara zahir dari kedua pihak yang  berakad sebagai tanda kerelaan mereka untuk melakukan aqad. Ia meliputi ijab (iaitu pernyataan untuk beraqad dari pihak yang memulakan akad) dan qabul (iaitu penerimaan/persetujuan dari pihak kedua). Sighah (pernyataan) ini boleh berupa percakapan, tulisan, bahasa isyarat yang difahami[1] atau dengan perbuatan/tindakan (seperti satu pihak memberi dan satu pihak lagi mengambil).  Secara ringkasnya dapat kita katakan bahawa berakad melalui sms, email dan seumpamanya masuk dalam hukum akad melalui tulisan. Para ulamak mengharuskannya dengan syarat tulisan itu jelas (tiada kesamaran), benar datang dari pihak berakad dan bertujuan akad.[2] Selain itu, kedua pihak yang berakad hendaklah orang yang sah untuk berakad, iaitu; telah baligh dan beraqal (waras).

Oleh kerana -melalui sms, email dan seumpamanya itu- aqad dilakukan secara berjauhan, qabul dari pihak kedua dikira setelah tulisan sms/email dari pihak pertama dibaca dan difahaminya dan ia menyatakan persetujuannya selepas itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/160 (perkataan ‘sighah’).
2.  al-Mu’amalaat al-Maliyah-2, as-Syubaily, hlm. 76.
3. at-Tijarah al-Iliktroniyah, ‘Ali Muhammad Ahmad Abu al-‘Izzi, hlm. 190.
4. Hukm Ijra’ al-‘Uqud bil-Alati al-Hadithah, Dr. al-Farfur (Majallah Majma’ al-Fiqh; 6/593).


[1] Beraqad dengan isyarat hanya harus bagi orang yang tidak mampu bercakap dan menulis.
[2] Harus berakad dengan tulisan sekalipun dapat bercakap. Namun dikecuali akad nikah, tidak harus berakad nikah dengan tulisan selagi pihak yang berakad dapat bercakap.