Saturday, August 23, 2008

TAUHID RUBUBIYYAH DAN ULUHIYYAH

Soalan; ustaz yang dirahmati allah, apakah sebenarnya perbezaan antara tauhid uluhiyah dan tauhid rububiyah dari segi pengenalan dan ta'rif? Terima kasih. Wassallam.

Jawapan;

Ar-Rububiyyah berasal dari kalimah ar-Rabb. Ar-Rabb (الرّبّ) bermaksud yang memiliki, yang menguasai dan yang mentadbir. Tauhid Rububiyyah bermaksud mengesakan Allah sebagai ar-Rabb, iaitu meyakini bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan yang mencipta alam ini, yang memilikinya, yang mengatur perjalanannya, yang menghidup dan mematikan, yang menurunkan rezki kepada makhluk, yang berkuasa mendatangkan manfaat dan menimpakan mudharat, yang mengabulkan doa dan permintaan hamba tatkala mereka terdesak, yang berkuasa melaksanakan apa yang dikehendakinya, yang memberi dan menegah, di tanganNya segala kebaikan dan bagiNya penciptaan dan juga segala urusan, sebagaimana Ia berfirman tentang diriNya (yang bermaksud);

“Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. (al-Fatihah: 3)

“Ingatlah, bagiNya (yakni Allah) jualah urusan penciptaan dan segala urusan. Maha tinggi Allah, Rabb bagi semesta alam”. Al-A’raf: 54)

“..maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, - Tuhan sekalian alam. Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (al-Jathiyah: 36-37)

Termasuk juga dalam pengertian tauhid Rububiyyah ialah beriman dengan Qadarullah (yakni ketentuan dan ketetapan Allah) iaitu meyakini bahawa setiap yang berlaku di alam ini adalah terbit dari ilmu Allah, iradah (kehendak)Nya dan juga qudrah (kekuasaan)Nya.

Al-Uluhiyyah pula berasal dari kalimah al-Ilah. Al-Ilah (الإله) bermaksud yang berhak disembah di mana kepadanya ditujukan segala ibadah (pengabdian diri). Jadi, Tauhid al-Uluhiyyah bermaksud mengesakan Allah sebagai Ilah, iaitu meyakini bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah dan diqasadkan segala ibadah, tidak harus ditunaikan ibadah melainkan kepadaNya sahaja dan tidak harus mensyirikkanNya dengan sesuatu apapun di langit mahupun di bumi. Firman Allah (bermaksud);

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus”. (al-Bayyinah: 5)

“Katakanlah: ‘Sesungguhnya shalatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”. (al-An’am: 162)

Tauhid al-Uluhiyyah (yakni mengesakan Allah sebabai Ilah) adalah kemuncak Tauhid. Tidak sah iman kepada Allah melainkan dengan kukuhnya tauhid ini di dalam hati di samping tauhid pertama tadi (yakni tauhid Rububiyyah iaitu mengakui Allah sebagai Rabb). Tauhid inilah yang menjadi penekanan para Nabi dan Rasul di mana mereka diutuskan bukan sekadar untuk memaklumkan kepada manusia adanya Allah, tetapi lebih besar dari itu untuk mengajak manusia menyembah Allah dan meninggalkan segala perbuatan yang menyengutukanNya. Allah menjelaskan matlamat pengutusan semua Rasul di mana Ia berfirman (yang bermaksud);

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)”. (an-Nahl: 36)
(Menurut ulama’ tafsir; yang dimaksudkan dengan Taghut dalam ayat di atas ialah segala yang disembah selain dari Allah sama ada berhala-berhala, Iblis, Syaitan dan sebagainya. (Lihat tafsir al-Qurthubi)).

Demikianlah keterangan ringkas tentang Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah yang dapat saya berikan dalam ruangan yang ringkas ini. Harapan saya agar saudara dapat meneroka dengan lebih mendalam ilmu tentang kedua-dua jenis tauhid ini. Keimanan kita kepada Allah tidak akan sempurna melainkan dengan kita memahami dan menghayati dengan sempurna kedua-dua Tauhid tersebut di samping satu lagi Tauhid iaitu Tauhid al-Asma’ Wa as-Sifat iaitu mengesakan Allah dengan meyakini sekelian nama-nama dan sifat-sifatNya yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarh al-‘Aqidah at-Thahawiyyah, Imam Abil-Izzi al-Hanafi.
2. Taisir al-‘Azizil Hamid, Syeikh Sulaiman bin Abdillah.
3. Haqiqatu at-Tauhid, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
4. Al-Iman, Dr. Naeem Yasin.

No comments: